d ummah

Check out harga semasa Dinar Muslim

Sunday, March 30, 2014

Konflik Republik Afrika Tengah menggamit perhatian dunia


Apa sebenarnya yang berlaku di sana? Sedang Malaysia menghadapi pelbagai isu ekonomi, politik, kesihatan dan baru-baru ini isu misteri kehilangan pesawat MH370, Afrika Tengah terus dibelenggu siri-siri pembunuhan yang masih buta kemanusiaan. Afrika Tengah ialah sebuah negara republik yang lebih dikenali sebagai Republik Afrika Tengah. Apakah negara republik? Republik ialah sebuah sistem yang menolak institusi beraja dimana kerajaan diketuai oleh presiden yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya dan presiden memegang jawatan sebagai ketua kerajaan dan ketua negara.

                Central African Republic (CAR) ataupun Republik Afrika Tengah ialah sebuah negara yang berada di dalam gugusan benua Afrika dan populasi penduduknya ialah seramai 4.525 juta. Komposisi agama bagi penduduknya pula ialah 25% Kristian Katolik, 25% Kristian Protestan, 15% Islam dan 35% menganut agama nenek moyang[1].

                Selepas merdeka daripada jajahan Perancis pada tahun 1960, CAR menghadapi 8 kudeta[2]. Pada Mac 2013,  kumpulan Seleka, terdiri daripada kumpulan militan Muslim utara CAR, Chad dan Sudan telah melakukan kudeta ke atas Presiden Bozize atas sebab tidak puas hati dengan kerajaan Bozize yang mengabaikan komuniti  Muslim di utara CAR. Maka dengan itu, ketua kepada kudeta iaitu Michel Djotodia mengangkat sumpah menjadi Presiden. Dia merupakan Presiden Muslim pertama di negara itu. Walaubagaimanapun, harapkan pagar, pagar makan padi. Pelbagai jenayah kemanusiaan terhadap komuniti Kristian pula dilakukan terutamanya di ibu kota CAR, Bangui.

                Tidak lama selepas itu, pada September 2013, Michel Djotodia membubarkan kumpulan militan Seleka dan ahlinya diserap masuk ke tentera CAR. Namun, ada di antara ahlinya yang ingkar dan membantah untuk meletakkan senjata. Mereka ini digelar Ex-Seleka. Pada ketika itulah, warga Kristian CAR bangun untuk membalas dendam terhadap perbuatan kumpulan Seleka lalu mereka mewujudkan kumpulan militan anti-Balaka atau sinonimnya ialah anti-Pedang. Keadaan bertambah kronik apabila mereka tidak mengiktiraf Muslim sebagai warganegara CAR dan Muslim mesti dihapuskan. Sehingga hari ini, negara jiran, Chad telah menerima lebih 70 ribu pelarian CAR dan beribu-ribu Muslim telah terkorban[3].

                Faktor utama yang dilihat berlakunya konflik ini adalah kerana tindakan melulu menghukum sendiri atau terma Inggerisnya ialah lynching. Kedua-dua belah pihak, iaitu Seleka dan anti-Balaka sama-sama menghukum sendiri sehingga tercetuslah pembunuhan dan eksodus mega di sana. Oleh kerana ahli keluarga Kristian dibunuh oleh kumpulan Seleka, maka kesemua minority Muslim yang tidak bersalah turut terpalit kesalahan yang sama walaupun mereka hanyalah perempuan dan bayi. Mereka (Muslim) mesti dihalau dan dihapuskan menurut anti-Balaka.

                Memetik perenggan daripada artikel theguardian[4] yang bertajuk, ditulis oleh David Smith yang kini berada di Bangui, iaitu ibukota CAR, menurut Sebastian Wenezoui, 32, jurutera sivil, berkata dia membantu Anti-Balaka selepas ibu bapa dan saudaranya dibunuh oleh Seleka dan rumah dibakar. “Saya terkejut. Hari ini kamu boleh lihat perasaan saya dalam apa yang sedang buat sekarang. Saya mesti ekspresikan diri saya. Kalau kamu di tempat saya, adakah kamu akan selesa dengan semua yang berlaku?”

                Apabila ditanya tentang pembunuhan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa kepadanya, Wenezoui menjawab: “ Bagi saya ia adalah jawapan kepada apa yang telah Seleka lakukan. Mereka yang mula membunuh kanak-kanak dan para wanita dan memusnahkan rumah-rumah kami. Dendam itu baik kadangkala dan buruk kadangkala. Tetapi kami mesti melakukannya.” 

                Wenezoui meluahkan rasa tidak kesal berkenaan eksodus; perpindahan beramai-ramai Muslim. “ Saya tidak berasa sedih langsung kerana ketika Seleka memerintah orang Islam, yang mana dulunya sahabat karib kami, adalah mereka yang memusnahkan rumah kami dan membunuh. Ini adalah satu pengajaran. Mereka berlagak sebagai pengkhianat jadi mereka mesti pergi dan belajar sesuatu dan pulang ke sini dengan tingkahlaku yang lebih dihormati.”

                Pelbagai misi ketenteraan pengaman dari negara luar telah hadir untuk membantu ketegangan yang berlaku. Antaranya ialah African Union, United Nation dan Europian Union. Perancis juga turut menghantar tenteranya yang ‘kononnya’ hadir untuk membantu CAR namun sebaliknya berlaku. Banyak video di laman Youtube merakam perbuatan tentera-tentera Perancis di sana.
Pada 8 Mac 2014, Muhammad Said Ismail, salah seorang pemimpin muslimin dan bekas penasihat Presiden CAR, mengatakan bahawa Perancis yang membuat fitnah antara muslimin dan kristian di Afrika Tengah.

                Beliau menyatakan dalam rancangan Without Borders di Al-Jazeera bersama dgn pengacara Ahmed Mansour, "Dewan Keamanan memutuskan tentera Afrika dengan bantuan pasukan Perancis memasuki Afrika Tengah untuk menjaga keamanan. Akan tetapi pasukan Perancis telah melucuti senjata muslim dan membiarkan senjata di tangan kaum kristian" kata beliau. Beliau mengatakan lagi bahawa kaum Kristian telah mengoyak Al-Quran, membunuh ratusan muslimin dari kalangan wanita dan orang tua dan menghancurkan lebih dari 350 Masjid dengan bantuan tentara salib Perancis.

                Dek kerana kegagalan Michel Djotodia menangani konflik ini, beliau ditekan oleh ketua-ketua daerah dan akhirnya meletak jawatan. Dan bermula sejak itu, Catherine Samba-Panza mengambil alih jawatannya sebagai Presiden Interim. Beliau yang berkedudukan neutral menyeru kumpulan ex-Seleka dan anti-Balaka untuk menghentikan konflik tersebut. Namun ada yang berpendapat beliau adalah boneka Perancis di mana di situlah tempat beliau melanjutkan pengajiannya  dan dengan itu memudahkannya untuk terlibat terus dengan CAR.

                Saya berpendapat bahawa sebenarnya konflik ini bukanlah konflik agama 100%, namun ini adalah konflik etnik yang berbeza agama. Dan pada pandangan saya, apabila seseorang manusia itu bertindak sesuka hatinya dalam menghukum maka keadaan sebeginilah yang akan berlaku. Dan ketika mana ajaran Islam dan Kristian tidak benar-benar difahami dan diamalkan, seperti yang sedia maklum semua agama menganjurkan keamanan dan kemanusiaan, maka manusia itu mampu berubah hatta lagaknya menandingi seekor binatang yang sangat buas. Oleh yang demikian, sikap toleransi antara agama dan keperimanusiaan amat memainkan peranan penting dalam memerintah sesebuah negara, jika diabaikan sudah pasti akan membawa kepada bencana kemanusiaan yang maha dahsyat!

                Apakah peranan yang boleh kita mainkan? Selaku mahasiswa, kecaknaan terhadap isu-isu semasa yang berlaku sama ada global atau lokal mestilah diambil peduli. Titipkanlah juga doa kalian kepada saudara seIslam di sana dan tidak dilupakan buat negara yang sedang bergelut dengan pelbagai konflik seperti Mesir, Syria, Palestin dan terbaru di Ukraine. Jika berpeluang, sumbangkanlah sedikit masa dan tenaga menyertai program-program yang dianjurkan persatuan mahasiswa selari dengan isu kemanusiaan ini.












Siti Khadijah Abas
Mahasiswa Cakna,
Pelajar Tahun Tiga,
Jurusan Bioteknologi,
IIUM Kuantan



[1] Central Intelligence Agency, https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/geos/ct.html
[2] arif-france.org, Konflik di Central African Republic (CAR)
[3] theguardian.com, Chad struggles to cope with refugees from conflict in Central African Republic
[4] theguardian.com, Christian militias take bloody revenge on Muslims in Central African Republic

et_born2shaheed

bleh gak baca yang ni

Related Posts with Thumbnails