Apa sebenarnya yang
berlaku di sana? Sedang Malaysia menghadapi pelbagai isu ekonomi, politik,
kesihatan dan baru-baru ini isu misteri kehilangan pesawat MH370, Afrika Tengah
terus dibelenggu siri-siri pembunuhan yang masih buta kemanusiaan. Afrika
Tengah ialah sebuah negara republik yang lebih dikenali sebagai Republik Afrika
Tengah. Apakah negara republik? Republik ialah sebuah sistem yang menolak
institusi beraja dimana kerajaan diketuai oleh presiden yang dipilih oleh
rakyat melalui pilihan raya dan presiden memegang jawatan sebagai ketua
kerajaan dan ketua negara.
Central African Republic (CAR) ataupun Republik
Afrika Tengah ialah sebuah negara yang berada di dalam gugusan benua Afrika dan
populasi penduduknya ialah seramai 4.525 juta. Komposisi agama bagi penduduknya
pula ialah 25% Kristian Katolik, 25% Kristian Protestan, 15% Islam dan 35%
menganut agama nenek moyang[1].
Selepas merdeka daripada jajahan Perancis pada tahun
1960, CAR menghadapi 8 kudeta[2].
Pada Mac 2013, kumpulan Seleka, terdiri
daripada kumpulan militan Muslim utara CAR, Chad dan Sudan telah melakukan
kudeta ke atas Presiden Bozize atas sebab tidak puas hati dengan kerajaan
Bozize yang mengabaikan komuniti Muslim
di utara CAR. Maka dengan itu, ketua kepada kudeta iaitu Michel Djotodia
mengangkat sumpah menjadi Presiden. Dia merupakan Presiden Muslim pertama di
negara itu. Walaubagaimanapun, harapkan pagar, pagar makan padi. Pelbagai
jenayah kemanusiaan terhadap komuniti Kristian pula dilakukan terutamanya di
ibu kota CAR, Bangui.
Tidak lama selepas itu, pada September 2013, Michel
Djotodia membubarkan kumpulan militan Seleka dan ahlinya diserap masuk ke
tentera CAR. Namun, ada di antara ahlinya yang ingkar dan membantah untuk
meletakkan senjata. Mereka ini digelar Ex-Seleka. Pada ketika itulah, warga
Kristian CAR bangun untuk membalas dendam terhadap perbuatan kumpulan Seleka
lalu mereka mewujudkan kumpulan militan anti-Balaka atau sinonimnya ialah anti-Pedang.
Keadaan bertambah kronik apabila mereka tidak mengiktiraf Muslim sebagai
warganegara CAR dan Muslim mesti dihapuskan. Sehingga hari ini, negara jiran,
Chad telah menerima lebih 70 ribu pelarian CAR dan beribu-ribu Muslim telah
terkorban[3].
Faktor utama yang dilihat berlakunya konflik ini
adalah kerana tindakan melulu menghukum sendiri atau terma Inggerisnya ialah
lynching. Kedua-dua belah pihak, iaitu Seleka dan anti-Balaka sama-sama
menghukum sendiri sehingga tercetuslah pembunuhan dan eksodus mega di sana. Oleh
kerana ahli keluarga Kristian dibunuh oleh kumpulan Seleka, maka kesemua minority
Muslim yang tidak bersalah turut terpalit kesalahan yang sama walaupun mereka hanyalah
perempuan dan bayi. Mereka (Muslim) mesti dihalau dan dihapuskan menurut anti-Balaka.
Memetik perenggan daripada artikel theguardian[4]
yang bertajuk, ditulis oleh David Smith yang kini berada di Bangui, iaitu
ibukota CAR, menurut Sebastian Wenezoui, 32, jurutera sivil, berkata dia
membantu Anti-Balaka selepas ibu bapa dan saudaranya dibunuh oleh Seleka dan
rumah dibakar. “Saya terkejut. Hari ini kamu boleh lihat perasaan saya dalam
apa yang sedang buat sekarang. Saya mesti ekspresikan diri saya. Kalau kamu di
tempat saya, adakah kamu akan selesa dengan semua yang berlaku?”
Apabila ditanya tentang pembunuhan wanita dan
kanak-kanak yang tidak berdosa kepadanya, Wenezoui menjawab: “ Bagi saya ia
adalah jawapan kepada apa yang telah Seleka lakukan. Mereka yang mula membunuh
kanak-kanak dan para wanita dan memusnahkan rumah-rumah kami. Dendam itu baik
kadangkala dan buruk kadangkala. Tetapi kami mesti melakukannya.”
Wenezoui meluahkan rasa tidak kesal berkenaan
eksodus; perpindahan beramai-ramai Muslim. “ Saya tidak berasa sedih langsung
kerana ketika Seleka memerintah orang Islam, yang mana dulunya sahabat karib
kami, adalah mereka yang memusnahkan rumah kami dan membunuh. Ini adalah satu
pengajaran. Mereka berlagak sebagai pengkhianat jadi mereka mesti pergi dan
belajar sesuatu dan pulang ke sini dengan tingkahlaku yang lebih dihormati.”
Pelbagai misi ketenteraan pengaman dari negara luar
telah hadir untuk membantu ketegangan yang berlaku. Antaranya ialah African
Union, United Nation dan Europian Union. Perancis juga turut menghantar
tenteranya yang ‘kononnya’ hadir untuk membantu CAR namun sebaliknya berlaku.
Banyak video di laman Youtube merakam perbuatan tentera-tentera Perancis di
sana.
Pada 8 Mac 2014, Muhammad
Said Ismail, salah seorang pemimpin muslimin dan bekas penasihat Presiden CAR,
mengatakan bahawa Perancis yang membuat fitnah antara muslimin dan kristian di
Afrika Tengah.
Beliau menyatakan dalam rancangan Without Borders di
Al-Jazeera bersama dgn pengacara Ahmed Mansour, "Dewan Keamanan memutuskan
tentera Afrika dengan bantuan pasukan Perancis memasuki Afrika Tengah untuk
menjaga keamanan. Akan tetapi pasukan Perancis telah melucuti senjata muslim
dan membiarkan senjata di tangan kaum kristian" kata beliau. Beliau
mengatakan lagi bahawa kaum Kristian telah mengoyak Al-Quran, membunuh ratusan
muslimin dari kalangan wanita dan orang tua dan menghancurkan lebih dari 350
Masjid dengan bantuan tentara salib Perancis.
Dek kerana kegagalan Michel Djotodia menangani
konflik ini, beliau ditekan oleh ketua-ketua daerah dan akhirnya meletak
jawatan. Dan bermula sejak itu, Catherine Samba-Panza mengambil alih jawatannya
sebagai Presiden Interim. Beliau yang berkedudukan neutral menyeru kumpulan
ex-Seleka dan anti-Balaka untuk menghentikan konflik tersebut. Namun ada yang
berpendapat beliau adalah boneka Perancis di mana di situlah tempat beliau
melanjutkan pengajiannya dan dengan itu
memudahkannya untuk terlibat terus dengan CAR.
Saya berpendapat bahawa sebenarnya konflik ini
bukanlah konflik agama 100%, namun ini adalah konflik etnik yang berbeza agama.
Dan pada pandangan saya, apabila seseorang manusia itu bertindak sesuka hatinya
dalam menghukum maka keadaan sebeginilah yang akan berlaku. Dan ketika mana ajaran
Islam dan Kristian tidak benar-benar difahami dan diamalkan, seperti yang sedia
maklum semua agama menganjurkan keamanan dan kemanusiaan, maka manusia itu
mampu berubah hatta lagaknya menandingi seekor binatang yang sangat buas. Oleh
yang demikian, sikap toleransi antara agama dan keperimanusiaan amat memainkan
peranan penting dalam memerintah sesebuah negara, jika diabaikan sudah pasti
akan membawa kepada bencana kemanusiaan yang maha dahsyat!
Apakah peranan yang boleh kita mainkan? Selaku
mahasiswa, kecaknaan terhadap isu-isu semasa yang berlaku sama ada global atau
lokal mestilah diambil peduli. Titipkanlah juga doa kalian kepada saudara
seIslam di sana dan tidak dilupakan buat negara yang sedang bergelut dengan
pelbagai konflik seperti Mesir, Syria, Palestin dan terbaru di Ukraine. Jika
berpeluang, sumbangkanlah sedikit masa dan tenaga menyertai program-program
yang dianjurkan persatuan mahasiswa selari dengan isu kemanusiaan ini.
Siti Khadijah Abas
Mahasiswa Cakna,
Pelajar Tahun Tiga,
Jurusan Bioteknologi,
IIUM Kuantan
[1] Central Intelligence Agency,
https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/geos/ct.html
[2] arif-france.org, Konflik di Central African Republic
(CAR)
[3] theguardian.com, Chad struggles to cope with refugees
from conflict in Central African Republic
[4] theguardian.com, Christian militias take bloody
revenge on Muslims in Central African Republic